Wednesday, 22 February 2012

Islam Itu Indah [II]

Bismillahirrahmanirrahim...

Allahhumma solli 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi sayidina Muhammad

[I] Slot Islam Itu Indah

Seperti biasa, rutin wajib hari Rabu saya adalah mendengar slot Islam Itu Indah di radio IKIM dalam talian. Alhamdulillah, kali ini, saya berkesempatan mendengar  Prof. Dr. Muhaya memberikan tips-tips berkenaan menjadi pekerja yang baik, yang Celik Mata & Reset Minda.

Emm...bagaimana saya nak kongsikan tips tersebut dalam cara yang mudah dibaca dan difahami ye..sebab, Prof. memang banyak beri tips dan nasihat, tetapi ianya tidak mempunyai sebarang sub topik. Hanya bertemakan Celik Mata, Reset Minda daripada perspektif seorang pekerja, pelbagai ilmu dikongsikan tanpa sebarang batasan atau had. Saya kira, buat masa ini saya hanya catatkan semua isi-isi penting yang dikongsikan Prof. mengikut turutan serta turut memasukkan soalan-soalan yang diajukan oleh para pendengar, baik melalui panggilan telefon, mahupun di facebook beserta  jawapan-jawapannya.


Mukadimah daripada Prof.:

  1. Itqan: membuat kerja sebaik mungkin, menjadi manusia berkualiti; dengan Allah bertaqwa dan dengan manusia berakhlak.
  2.  Setiapkali kita mengambil langkah untuk memperbaiki diri kita, kita sebenarnya sedang memperbaiki dunia.
  3.  Memandangkan terlalu banyak medium untuk kita melahirkan pandangan, idea dan sebagainya seperti mesej melalui telefon bimbit, facebook dan twitter, kita perlu bertanya pada diri sendiri, adakah setiap yang kita fikir, cakap dan buat, membuat kerosakan atau kebaikan?
  4. Sekiranya sebagai pekerja, kita sentiasa berkira, maka Allah akan turut berkira dengan kita.
  5. Kita perlulah menjadi seorang yang hormat semua orang, ikhlas dengan semua orang, berlemah-lembut dengan semua orang dan sentiasa memikirkan apakah manfaat yang kita boleh beri pada orang lain.
  6. Orang yang tidak tenang, masalah kecil jadi besar. Besarkan jiwa sehingga masalah kelihatan kecil.
  7. Bila kita cari makna, kita akan jumpa makna itu dan perolehi redha Allah.

Sesi Soal Jawab:

S1. Bagaimana ingin menguruskan keadaan di mana bos berbangsa Cina, pekerja berbangsa Melayu, dan bos kurang suka dengan pekerja Melayu serta tidak suka pekerja Melayu bertudung?

J1: Pertama-tamanya, jangan bersangka buruk dengan orang lain. Tidak kira apa bangsa pun kita, kita semua datang dari Allah. Semua manusia mempunyai fitrah yang sama iaitu suka pada kebaikan. Cuba tanya pada diri sendiri, kenapa orang tak suka kita? Selalunya, apabila kita dapat membuat kerja dengan baik, bertanggungjawab terhadap tugas-tugas yang diberikan, jujur serta berintegriti tinggi, tidak akan ada orang yang tak suka dengan kita. Kesimpulannya, betulkan cara bekerja, berlemah-lembut, dan kita akan menang dalam kelembutan.

.............................................................................................................................................
S2: Penanya berkongsi pandangan dan pengalamannya di mana beliau telah diuji dengan ujian berat. Namun, beliau mempunyai keyakinan kepada Allah secara total. Beliau memandang kehidupan dengan positif kerana Allah tidak akan beri sesuatu yang kita tak mampu hadapi. Serta beliau menegaskan bahawa berimanlah pada Qada' dan Qadar.

J2: Prof. berpandangan bahawa penanya telah jumpa kunci kehidupannya. Siapa yang kenal Allah akan kenal diri sendiri, tidak akan menyesal atas segala yang telah terjadi dan akhirnya kehidupan akan menjadi tenang.

...............................................................................................................................................
S3: Penanya merupakan seorang usahawan, yang menjadi ketua dalam perniagaannya dan memberi peluang pekerjaan pada orang lain. Berdasarkan pengalaman beliau, kebanyakan pekerja tidak sedar konsep di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Individu yang memperolehi kerja secara mudah seperti melalui cadangan (recommendation) orang lain, sukar untuk menghargai kerja yang diperolehinya dan membuat kerja sambil lewa. Ia telah rosak daripada mula-mula masuk kerja dan seterusnya merosakkan keseluruhan organisasi. Oleh itu, penanya menyeru agar kesempatan yang Prof. ada semasa sesi-sesi ceramah di mana-mana organisasi untuk menegaskan hal ini.

J3: Prof. bersetuju dengan pandangan penanya yang mana setiap pekerja itu mesti hormati majikannya. Apabila seseorang individu mendapat pekerjaan dengan mudah, tanpa perlu berusaha dan berlawan (compete) dengan calon-calon temuduga yang lain (yang mungkin lebih layak daripadanya), ia akan menyebabkan kerosakan pada organisasi dari awal lagi.

............................................................................................................................................
S4: Penanya telah sekian lama beliau memohon pelbagai jawatan, tapi masih tidak mendapat pekerjaan.

J4: Orang buat sesuatu kerana makna. Dalam hidup, kita akan dapat apa yang kita jangkakan, bukan apa yang kita mahukan. Apa yang kita fikir, itulah yang akan terjadi. Jika kita semakin yakin, kita tahu tujuan hidup, aura akan terbentuk dan InshaAllah orang/organisasi/syarikat akan ambil kita bekerja. Jika kita tak yakin, nampak takut-takut, kita tak akan dapat pekerjaan tersebut. Majikan akan ambil pekerja yang optimistik, bukan yang pesimistik. Intonasi, nada, perkataan yang digunakan, semuanya akan mempengaruhi kejayaan kita dalam memperolehi sesuatu pekerjaan. Kesimpulannya, lihat pada diri dan tanya kita kategori orang yang macam mana. Jika perlu pembaikan, berubahlah.

..............................................................................................................................................
S5: Penanya baru pindah kerja ke sebuah hotel. Rakan-rakan sekerja yang telah lama kerja di situ merungut kerana gaji tak naik, tetapi penanya melihat kerja mereka tidak berat pun. Penanya memohon pandangan Prof. berhubung hal itu.

J5: Manusia yang buat kerja lebih daripada yang sepatutnya akan dapat lebih daripada yang sepatutnya. Pekerja yang banyak merungut, lepas 20 tahun pun akan bekerja di tempat yang sama. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai 4 ciri-ciri ini; suka merungut, mengumpat, menyesal dan mengeluh, badan tak sihat, orang tak suka dan kerja pun tak ke mana. Kalau ada keempat-empat ciri ini, baiklah cepat-cepat hentikan, InshaAllah kehidupan akan berubah.

...............................................................................................................................................
S6: Penanya merupakan seorang majikan. Salah seorang pekerja beliau adalah adik beliau sendiri. Beliau mempunyai masalah untuk menegur cara adik beliau bekerja.

J6: Apabila seseorang ditegur, kemudian dia nak marah pada penegur, itu menunjukkan dia ego dan kurang harga diri. Sebelum menegur adik, puji dahulu, sebut kekuatan dia. Kemudian barulah menegur dengan baik. Katakan pada adik bahawa bekerja untuk organisasi kerana Allah. Dan tujuan kakak tegur adalah untuk menjaga maslahah perniagaan. Ianya bukanla teguran kerana peribadi, tetapi  untuk kebaikan organisasi.

...............................................................................................................................................
S7: Penanya ada 6 orang bekerja di bawahnya. Di kalangan pekerja tersebut, terdapat seorang pekerja yang immoralized pekerja-pekerja lain. Puncanya adalah dia tak suka keadaan sekeliling. Dia telah mohon naik pangkat, tapi tak berjaya. Dan dia terus-terusan menyalahkan orang lain. Penanya pernah mencadangkan supaya pekerja tersebut ke kursus bina insan, setelah pekerja itu kembali daripada kursus, hanya seminggu sikap berubah, selepas itu dia kembali kepada sikap asalnya. Penanya cuba untuk menjadi pengaruh yang baik pada pekerja-pekerja bawahannya dan mohon pandangan Prof.

J7: Kalau kita menghadiri seminar, ianya seperti kita makan vitamin sebotol. Jadi, apakata kita makan vitamin sedikit demi sedikit, tapi berterusan. Apabila kita celik mata dan reset minda, kita dengar dan lihat sesuatu untuk perbaiki diri. Prof. berpandangan bahawa penanya sebagai majikan perlu melakukan briefing setiap kali memulakan kerja, beritahu pada para pekerja supaya jalinkan ukhuwah yang baik, masa bekerja jangan buat dosa seperti mengumpat, berfacebook dan sebagainya. Selesai bekerja, kita debriefing, lihat balik apa yang telah kita lakukan pada hari tersebut. Orang yang bekerja dengan ikhlas, anak-anak mereka selalunya menjadi anak-anak yang baik dan jika sakit, buat pembedahan atau rawatan, mudah. Semasa bekerja, dengan pangkat yang kita ada, kita letak pekerja di cold storage, maka bersedialah menerima balasan dari Allah. Jadikanlah tempat kerja itu sejadah kita. Ingin jadi positive influencer, gunalah perkataan yang baik, berlemah-lembut dan jangan tegur pekerja dengan rasa sakit hati dan benci.

................................................................................................................................................
S8: Penanya mengulang tips Prof. sebelum ini di mana apabila ingin ubah sesuatu, perlu ada kemahiran tertentu dan cari masa yang sesuai. Bila nak tegur orang, jangan tiba-tiba panggil dia tanpa ada sebab-sebab lain, tapi masa dia hantar laporan, kita tegur dia.

J8: Pekerja yang kurang baik, bila nak tegur, mesti puji dahulu. Senyuman dan pujian merupakan dua perkara yang sukar untuk dilakukan oleh orang Malaysia. Jangan bertengkar pada perkara-perkara furu'/ranting. Sebelum menegur, sebut dahulu kekuatan, kemudian kelemahan.

..................................................................................................................................................
S9: Penanya telah bekerja dalam sektor swasta selama 6 tahun. Selepas dinaikkan pangkat 2 tahun yang lalu, beliau kehilangan kawan-kawan sepejabatnya. Beliau telah mengambil perkara itu dari sudut positif yang mana keadaan itu membolehkan beliau lebih produktif, kurang mengumpat dan solat tepat waktu.

J9: Teori ekonomi mengatakan 20% orang mempunyai 80% kekayaan dunia. Kawan-kawan yang mula meninggalkan penanya mempunyai salah satu daripada 2 sebab ini iaitu malu atau dengki. Jadi penanya perlu ambil sebab yang mana kawan-kawan beliau itu malu dan dicadangkan supaya beliau kembali kepada kawan-kawannya seperti dulu dan buat seperti biasa. Jangan terpesona dengan pangkat kerana disebabkan hal itu, 2/3 daripada agama kita akan hilang. Orang yang ego sahaja bangga dengan pangkat. Belilah hadiah untuk menambat semula hati kawan-kawan.

 
Penutup:
  1. Apa yang kita buat, itulah yang kita dapat.
  2. Kalau kita terima rasuah, keluarga kita akan musnah.
  3. Kalau nak bahagia di rumah, bahagialah di tempat kerja.
  4. Cuba cari perkara-perkara yang menambah ilmu.
  5. Lihat dan baca perkara-perkara yang tidak merosakkan minda.
  6. Perbanyakkan budaya membaca dan tingkatkan ilmu.

[II] Rehat

Hari ini juga, saya memberi peluang kepada tubuh badan saya untuk berehat secara beransur-ansur yang mana selesai membasuh dan menjemur pakaian, saya akan baring sebentar. Kemudian apabila tubuh kembali segar, saya memasak sayur sebagai tambahan kepada masakan semalam iaitu sambal udang dan kari sotong yang masih berbaki. Memandangkan saya masih ada rasa sedikit kurang selesa di bahagian rahim, saya tidak mahu memaksa tubuh badan saya bekerja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Namun syukur, saya masih mampu bersolat secara berdiri dan mengaji seperti selalu. Alhamdulillahhhhhh..


[III] Hujan

Alhamdulillah, harini hujan :) Adalah normal pada waktu pertukaran musim seperti sekarang, hujan turun untuk beberapa hari..macam musim hujan gitu.. Pokok-pokok yang hanya tinggal ranting semasa musim luruh dan sejuk akan kembali menghasilkan dedaunan yang baru setelah mendapat khasiat daripada air hujan yang membasahi tubuhnya. Semoga kesejukan yang melanda hampir 3 bulan ini akan segera hilang dibawa  hujan yang penuh rahmat ini..Aminnnn :)


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"

No comments:

Post a Comment