Tuesday 31 January 2012

Pengajian dalam Talian

Bismillahhirrahmanirrahim...

[I] Pengajian Di Skype

Hari ini hari Selasa, bersamaan dengan 31 Disember 2012, 7 Rabi'ul Awal 1433H. Kenapa saya menekankan pada "hari Selasa" itu??? Kerana hari Selasa merupakan hari yang saya dan kawan-kawan muslimah yang berada di Jepun dan Malaysia pilih untuk diadakan pengajian dalam talian atau pengajian online.

Apa yang kami lakukan sepanjang pengajian online?

Sejak dari awal penganjurannya, ia dikemudi oleh seorang teman Indonesia, yang dikenali dengan panggilan Mba Ike. Beliau yang merupakan seorang yang arif dan alim dalam ilmu agama, ditambah dengan sifat lemah lembut serta keibuannya, sungguh mudah didekati. (Semoga Allah merahmati kehidupan beliau sekeluarga). Namun setelah Mba Ike pulang ke Indonesia (suami beliau berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD, Alhamdulillah...) seterusnya pengemudinya diganti dengan seorang adik Malaysia, CT (masih muda, namun tinggi ilmu agamanya), juga telah kembali ke tanahair pada Oktober tahun 2010, setelah suami beliau juga berjaya memperolehi PhD, Alhamdulillah..(Semoga Allah merahmati kehidupan beliau sekeluarga).

Semasa penganjurannya oleh Mba Ike, saya hanya berkesempatan mengikuti tadarus Al-Quran dalam talian yang mana setiap yang mengikutinya membaca 1 muka surat  sambil Mba Ike menyemak bacaan. Sekiranya ada kesalahan tajwid, akan terus ditegur dan dibetulkan. Selesai membaca Al-Quran, sedikit tazkirah atau tausiyah disampaikan oleh beliau.

Setelah beliau pulang, adik CT meneruskan pengajian online kami setiap hari Khamis, pukul 10 pagi hingga 12 tengahari/waktu solat Zuhur. Pengajian dimulakan dengan tadarus Al-Quran secara bergilir-gilir sebanyak setengah muka surat sambil teman-teman yang lain menyemak bacaan. Seterusnya kami turut diajar ilmu tajwid oleh adik CT dan selepas itu sekiranya ada sesiapa yang ingin berkongsi info, cerita, sirah Nabi atau apa sahaja diberi peluang untuk melakukannya, sehinggalah sekitar masuk waktu solat Zuhur.

Kini, pengajian online ini tiada pengemudinya yang khusus. Seringkali moderatornya berubah-berubah tergantung siapa yang sukarela untuk mengemudikannya. Namun format pengajian masih dikekalkan yang mana ia bermula dengan tadarus Al-Quran secara bergilir-gilir sebanyak setengah muka surat seorang sambil yang lainnya akan menyemak bacaan. Seterusnya salah seorang teman akan berkongsi tafsir ayat-ayat yang telah dibaca dan sedikit perbincangan dilakukan. Selepas itu, diadakan sesi info-sharing atau perkongsian maklumat, cerita dan sebagainya. Kebiasaannya sesi tersebut pasti akan penuh terisi dengan pelbagai perkongsian daripada mereka yang hadir ke ruang maya, Skype;)

Dan untuk minggu ini, kami saling berkongsi kisah tentang seorang rasul mulia, Nabi Muhammad S.A.W sempena bulan kelahiran Baginda pada bulan ini. MashaAllah, semua yang hadir begitu teruja berkongsi maklumat, kisah dan pengalaman mereka berkenaan sambutan Maulidur Rasul mahupun tentang hadis-hadis Baginda yang mulia. Semoga Allah memberkati perhimpunan kami dan menanamkan rasa cinta kami terhadap peribadi mulia, Nabi Muhammad S.A.W, Aminnnn...



teman-teman muslimah solehah, Malaysia dan Indonesia yang hadir ke ruangan Skype, dari Malaysia pun ada, jzkk;)

[II] Hati Suami Berbunga

Sekitar pukul 2 petang, suami mempunyai mesyuarat mingguan yang wajib dihadiri yang mana ia membincangkan tentang progres penyelidikan setiap penyelidik di bawah seliaan sensei suami. Sejak dari awal pagi lagi suami sudah berkongsi perasaan gundah-gulananya terhadap mesyuarat yang akan dihadiri di sebelah petang. Jadi saya tanya, "Abang dah bersedia ke?". Dan seperti biasa jawapannya "Adalah sikit-sikit...". Emm, saya berpandangan bahawa, sebagai seorang isteri, saya harus cuba menyelami dan turut berkongsi apa jua bentuk emosi suami. Dan kerana itu, setiap yang suami komunikasikan, baik emosi positif mahupun negatif, saya perlu memberi maklumbalas. Dan yang lebih baik adalah yang dapat memberi ketenangan di hati suami. Itu apa yang saya fikirkan, saya tidak pasti bahawa realitinya menjadi atau tidak..hehehe..

Selesai mesyuarat, suami pulang, sekitar jam 5 petang. Kebetulan saya sedang menyiapkan sedikit bungkusan untuk tuan rumah. Setelah selesai dengan tugasan itu, saya hidangkan kek pisang yang masih berbaki sedikit lagi sebagai hidangan minum petang kami hari itu. Tiba-tiba suami bersuara, "Sensei abang suruh mula tulis tesis. Dan kalau boleh, hantar secepat mungkin...". Allahu Akbar!!! Hati saya berbunga riang dengan penyataan suami itu :D

Itu menunjukkan sensei sudah agak berpuashati dengan progres serta hasil penyelidikan suami. Walaupun dulu saya masih ingat, suami sering menceritakan tentang hasil kerjanya yang  menjadi bahan kemarahan sensei. Suami pernah beberapa kali dimarahi di hadapan rakan-rakan semakmal dengan nada suara yang tinggi. Dan akhirnya, kesabaran suami mengharungi jerih-perih selama hampir 3 tahun ini tidak sia-sia. Walau mungkin terlalu awal untuk menyatakan bahawa sensei mengiktiraf usaha gigih suami, namun saya percaya Allah membantu hamba-hambaNya bersungguh-sungguh berusaha. Semoga Allah permudahkan segala urusan suami dalam menamatkan pengajian PhDnya,   melembutkan hati sensei dan para penilai yang akan membaca serta menyemak naskah penyelidikan suami kelak, Aminnn.


[III] Tonton 30MUD

Sementara menantikan masa mengambil ubat "nasal spray" (pukul 11:30 malam), seperti malam semalam, saya mengikuti rancangan 30 Minit Ustaz Don. Pada episod kali ini, masih mengekalkan tema Cinta Rasul, Ustaz Don berkongsi tentang nasab keturunan Rasulullah S.A.W dan menceritakan kisah-kisah menarik sekitar waktu kelahiran Baginda. Sungguh menarik penyampaian ustaz dan semoga anak-anak muda yang mengikuti rancangan ini akan tertarik dengan mesej yang beliau sampaikan dan sekaligus sedar  betapa besarnya jasa Rasululllah S.A.W yang telah mengembangkan dakwah Islam sehingga dapat kita rasakan sehingga ke hari ini...Alhamdulillah...



Menerangkan tentang nasab keturunan Nabi S.A.W:
Muhammad bin Abdullah bin 'Abd Muttalib bin Hashim bin 'Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah bin Khuzaymah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan
(diambil daripada buku "Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah S.A.W").

Keceriaan terpamer di wajah ustaz ketika menceritakan kisah kelahiran Rasulullah S.A.W ..



Ustaz Don yang bijak menzahirkan emosi sesebuah cerita melalui riak  wajah beliau:) 


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"

Monday 30 January 2012

Masak Lemak Lobak Putih/Daikon Cooked in Spicy Coconut Milk

Bismillahhirrahmanirrahim...

Lobak putih begitu popular di kalangan orang Jepun pada musim sejuk. Pada post sebelum ini, saya ada menceritakan bahawa saya diberi sebatang lobak putih oleh tuan rumah saya yang mana ia merupakan hasil tangan beliau. Katanya, ia enak dibuat salad/sarada.

Sejujurnya, semasa berada di Malaysia, saya tak pernah membeli lobak putih, apatah lagi memasak dan memakannya. Tetapi sejak hampir 3 tahun berada di Jepun, setiap kali musim sejuk, saya mendapat lobak tersebut daripada tuan rumah yang baik hati, yang suka berkongsi hasil kebunnya. Memandangkan tekak orang Melayu seperti saya ini tak boleh lari daripada rasa pedas dan lemak, saya memasak lobak putih tersebut versi masakan Melayu iaitu masak lemak...hehehe..


Masak lemak lobak putih/daikon, salah satu menu untuk buka puasa kami:)


Resepinya adalah seperti berikut:

Bahan-bahan:

1. 1 batang lobak putih beserta daunnya (saiz kecil)
2. 1/2 biji bawang besar
3. 3 ulas bawang putih
4. 1/4 cawan udang kering
5. 1 sudu besar belacan (dibakar)
6. 5 biji cili padi
7. 1 1/2 cawan air
8. 1 cawan santan
9. 1/2 sudu teh stok ayam
10. garam
11. sedikit minyak untuk menumis


Cara-cara:

1. Lobak putih dibuang kulitnya, dihiris nipis setebal suku inci dan dibelah 2 menjadi bentuk bulan (separuh bulatan)
2. Kisar atau tumbuk bawang besar, bawang kecil, udang kering, belacan dan cili padi.
3. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan bahan-bahan kisar/tumbuk sehingga wangi.
4. Masukkan air ke dalam periuk dan biarkan mendidih.
5. Kemudian masukkan lobak putih dan kacau.
6. Biarkan ia mendidih dan renihkan ia sekitar 15 minit dengan api yang kecil. Tunggu sehingga lobak putih lembut. (tanda lobak putih lembut ialah warnanya yang putih menjadi lutsinar)
7. Masukkan daun dan renih lagi antara 3 hingga 5 minit.
8. Kemudian masukkan santan dan kacau lagi. Biarkan ia mendidih.
9. Akhir sekali masukkan garam, stok ayam atau sos ikan sebagai perasa. Didihkan lagi sekitar 2 hinnga 3 minit.
10. Siap untuk dihidang dengan nasi panas.


"Segala Puji bagi Allah. Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"


Semarakkan Cinta Rasul

Allahuma salli ala Muhammadin wa aale Muhammad(O Allah! Bestow Peace on Muhammad and his Descendants)

Isnin, 6 Rabi'ul Awal

Bulan ini adalah bulan Rabi'ul Awal, bulan penuh kegembiraan bagi umat Islam, yang mana pada bulan ini lahirlah nabi dan rasul terakhir, Nabi Muhammad S.A.W. Dan hari ini iaitu Isnin merupakan hari kelahiran Baginda.


[I] Himpunan Doa-doa Nabi S.A.W

Setelah solat Subuh pagi ini, saya mencari-cari kekuatan untuk membaca Al-Ma'thurat. Maklumlah, dalam cuaca sejuk sekitar 1 darjah Celcius ini, tidak ada lagi yang mampu saya lakukan setelah Subuh melainkan tidur kembali. Tapi Alhamdulillah, mungkin juga kerana saya makan awal pagi, saya mendapat sedikit kekuatan untuk membaca kitab kecil itu.

Saya pasti, semua orang mengenali Al-Ma'thurat, kan? Al-Ma'thurat merupakan himpunan zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W yang mana zikir-zikir ini telah dipilih dan disusun oleh Al-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Dengan membaca zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasulullah ini bererti kita telah membentengi diri kita dengan senjata yang kukuh, sehingga terhindar dari gangguan syaitan yang terkutuk. Maka adalah baik sekiranya setiap muslim itu mengamalkan zikir Al-Ma'thurat ini pada setiap pagi dan petang, siang dan malam.



Saya mula diperkenalkan dengan kitab kecil ini semasa tinggal di asrama

[II] 30 Minit Ustaz Don

Di sebelah malamnya, saya menonton 2 rancangan tv di TVAlhijrah, iaitu 30 Minit Ustaz Don dan program dokumentari pendek mengenai kisah para sahabat Nabi S.A.W (tapi saya tak tahu tajuknya hehehe..). Kedua-duanya memang saya nantikan walaupun sudah agak lewat kerana kami di Jepun. 30 Minit Ustaz Don bermula pukul 11 malam manakala dokumentari mengenai para sahabat Nabi bermula pukul 11:30 malam.


Ustaz Don bercerita tentang kisah Rasulullah S.A.W sempena bulan kelahiran Baginda dengan tema: Cinta Rasul 


Dan dokumentari menjejak sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W...



Saya menonton tv melalui Asyik.tv di facebook:)


Abu Bakar r.a merupakan khalifah pertama yang dilantik setelah kewafatan Rasulullah dan setelah Abu Bakar juga wafat, diganti dengan Umar Al-Khattab r.a



Di bawah kubah hijau itu bersemadinya sahabat mulia, Abu Bakar As-Siddiq r.a

 [III] Memori Indah Diraikan

Mengimbas memori sebulan yang lalu pada tarikh ini, kerana tarikh ini, saya diraikan oleh adik-adik di sini sempena hari kelahiran saya yang ke 33. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah masih memanjangkan usia dalam keadaan beriman padaNya. Semoga nikmat iman dan Islam ini akan terus saya rasai sehingga akhir hayat saya, Aminnn...

Beberapa keping gambar bersama mereka pada 9 Januari 2012...



suami pun dipaksa bergambar..hihihih



menyambut hari lahir saya dahulu..



turut diraikan, teman yang lahir pada  tanggal 1 Januari
(dr kiri: huda, gee, zainah, basha, sy, fasha, syae dan nora)



adik-adik solehah yang manis dan baikhati..jzkk..semoga Allah membalas kebaikan mereka;)

Akhir kata, mari hayati klip video di bawah, yang dipetik daripada program di TVAlhijrah setiap hari Sabtu dan Ahad bertajuk "Law Kaana Bainana" yang bermaksud "Andai Rasulullah Masih Bersama Kita".



Hari yang menyentuh perasaan...Subhanallah...


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"

Sunday 29 January 2012

Kek Pisang

Bismillahhirrahmanirrahim...

Kek pisang merupakan antara kek yang sedap yang sering menjadi igauan apabila saya melihat banyak pisang dijual di pasaraya..hehehe..Saya suka menyediakan kek ini semasa iftar, bertandang ke rumah kawan mahupun untuk hidangan minum petang di rumah. Resepinya saya perolehi daripada seorang adik yang saya kenal di sini yang sememangnya pandai dalam bab bakar membakar nih..hihih..memang tabik spring kat beliau..hehehe..Walaupun sudah hampir 1 tahun setengah beliau kembali ke Malaysia, namun resepi kek pisang yang diberikannya tetap menjadi pilihan saya setiap kali rasa teringin sangat nak makan..suami pun suka;)

Kek yang ringan dan sedap dimakan ketika masih panassss...;)

Berikut resepinya:

Bahan-bahan (loyang saiz 18cm):

1. 2 biji pisang Jepun
2. 140gm butter  
3. 120gm gula  
4. 2 biji telur  
5. 1 sudu kecil esen vanila
6. 2 sudu besar fresh cream
7. 1 sudu besar jus lemon
8. 200gm tepung gandum
9. 1 sudu kecil soda bikarbonat
10. 1 sudu kecil baking powder

Cara-caranya:
  1. Pukul butter dengan gula sehingga kembang.
  2. Asingkan putih dan kuning telur.
  3. Pukul putih telur sehingga kembang. Kemudian masukkan ke dalam butter tadi.
  4. Ayak tepung, soda bikarbonat dan baking powder. Kemudian masukkan ke dalam adunan tadi.
  5. Masukkan pisang yang telah dilenyek dan esen vanila ke dalam adunan.
  6. Campurkan jus lemon dan fresh cream. Kemudian masukkan juga ke dalam adunan.
  7. Akhir sekali masukkan kuning telur. Kacau sehingga sebati.
  8. Masukkan ke dalam loyang dan bakar pada suhu 160 darjah Celcius selama 35-40 minit.
Resepi ini turut menjadi buruan teman-teman di sini yang telah menikmatinya...MashaAllah..Selamat mencuba;)


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"

Hari Perubatan Bermula

Bismillahillazi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardi walaa fissama’ii, Wa huwassami ul ‘alim...
(Aku berlindung dengan nama Allah yang tidak memberi kemudaratan dengan namaNya apa sahaja di bumi dan langit, dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui)

Hari ini hari Ahad, hari istirehat dan lebih sinonim juga dengan hari mengemas rumah/memperbaiki alatan rumah/membersihkan kereta (bagi suami). Emmm, tapi tajuk post hari ini iaitu hari Ahad, sedikit pelik dan ganjil daripada rutin biasa.

Semoga usaha kami kali ini berhasil...Usia perkahwinan yang menjangkau 9 tahun agak merisaukan saya khususnya, (saya pasti, suami juga) kerana kami masih belum dikurniakan amanah daripada Allah. Setiap pasangan yang berkahwin itu sudah pasti menginginkan kehadiran zuriat mereka sendiri yang InshaAllah dapat menyeri serta menceriakan bahtera yang dibina, dan yang lebih penting adalah dapat membantu menyelamatkan mereka daripada siksaan kubur dan azab api neraka. Walaupun kami telah berusaha sedaya upaya yang termampu, baik secara perubatan moden, tradisional mahupun perubatan Islam, namun nampaknya masih belum membuahkan hasil. Sesungguhnya kami redha dengan ketentuanNya jika dengan cara ini akan dapat mendekatkan kami kepadaNya.


[I] Kembali Mendapatkan Rawatan

Mulai 4 Jan yang lalu, setelah berbincang dengan suami, akhirnya hati kamu terbuka lagi untuk kembali  semula ke Futari Clinic untuk mendapatkan rawatan setelah setahun tidak ke sana atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Setelah menyatakan hasrat kami untuk menyambung semula rawatan dengan pihak klinik, doktor mencadangkan agar kali ini saya membuat IVF/taigai jyusei setelah percubaan melakukan IUI/jinko jyusei tidak berhasil. Secara asasnya, saya dan suami tidak mempunyai masalah untuk memperolehi zuriat. Tetapi, emmm...mungkin belum rezeki kami lagi..dan inilah takdir kami, yang telah diatur oleh Allah, dan hanya Allah jualah yang mengetahui hikmah disebalik segala ketentuanNya ini. Setelah berbincang beberapa hari, kami sepakat untuk patuh dan menerima cadangan doktor.


Bermula 4 Jan, setiap minggu (hari Rabu) saya dan suami perlu ke klinik untuk pelbagai tujuan seperti melakukan ujian darah dan pemeriksaan ultrasound. Seperti biasa, doktor akan melihat carta BBT (basal body temperature) sebagai bahan sokongan. Nak tengok carta suhu badan asas saya?




Carta BBT saya untuk bulan Jan-Feb


Close-up skit..




Carta BBT ini juga tempat doktor mencatat rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan kepada saya

 [II] Mula Ambil Nafareril dan Premarin pada 29hb Jan

Hasil perjumpaan dengan doktor pada 25 Jan yang lalu, berkat kepakaran doktor(yang diilhamkan oleh Allah), saya diberi dua jenis ubat sebagai persediaan untuk saya lakukan IVF bulan hadapan.


Nafareril: nasal spray; perlu ambil 2 kali sehari, pagi dan malam dalam jarak 12 jam

Dan ini...



Premarin: tablet: perlu makan 2 kali sehari, pagi dan malam

[III] Teman Merangkap Pengalihbahasa serta Penyimpan Rahsia

Pada perjumpaan 4 Jan dan 25 Jan ini, saya ditemani kawan Malaysia, Li* yang mana beliau dahulunya merupakan pelajar perubatan di Jepun dan mahir dengan istilah-istilah perubatan. Alhamdulillah, dengan kehadiran beliau, lebih banyak maklumat yang kami perolehi dan fahami. Malah, setelah selesai berjumpa doktor, beliau sudi memberi penerangan sekali lagi mengenai ubat-ubatan yang saya perolehi supaya saya lebih faham dan tidak melakukan kesilapan. Kesudian beliau melapangkan masa untuk menemani kami ini benar-benar kami hargai, begitu juga suami dan anak-anak beliau yang mengizinkan isteri dan ibu mereka dipinjam selama beberapa jam...hehehehe..Semoga Allah permudahkan segala urusan beliau khususnya urusan beliau melahirkan anak yang ke-3 yang dijangka bulan April nanti...Aminnn:)


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"

Nuget Ayam/Chicken Nugget

Bismillahirrahmanirrahim...

Resepi untuk hari ini memberi banyak kenangan dalam diri saya. Kenapa??? Dengan resepi ini,

1) saya telah berjinak-jinak menjual makanan di perantauan (walaupun mungkin dalam kuantiti yang sedikit..). Dan penjualan tersebut begitu rancak berlaku di sepanjang bulan Ramadhan tahun lepas khususnya di kalangan teman-teman yang hamil dan bujang:)

2) tidak ketinggalan, saya dengan dibantu oleh suami, dengan senang hatinya menyediakannya beberapa kali ketika iftar Ramadhan yang lalu, khususnya pada majlis iftar anjuran OMSA di International hall/Ryugakusei Kaikan. Sangat seronok apabila melihat kanak-kanak begitu teruja ketika menikmatinya dan sering minta lagi (tambah..heheh).

3) saya lihat ia mengubat kerinduan teman-teman Malaysia dan Indonesia yang mungkin menggemari makanan ini. Maklumlah, walaupun nuget ayam ini banyak dijual di pasaraya, namun sembelihan ayamnya yang tidak dilakukan secara Islam menyebabkan ia haram dimakan.  Saya sendiri yang menjumpai resepi ini di Internet, terus mencuba dan suami amat menyukai buat pertama kalinya dan sehingga kini, buat kesekian kalinya. Alhamdulillah, sungguh bermanfaat perkongsian di Internet ni, mudah diakses oleh siapa sahaja yang mahukannya.

Tanpa berlengah lagi, saya kongsikan 2 versi resepi nuget kegemaran kami:

Bahan-bahan (35 biji):

A) Nuget Ayam Biasa
1. 350gm daging cincang
2. 1 sudu besar tepung gandum
3. 1/4 sudu teh garam
4.1/4 sudu teh lada sulah/koshou
5. 2 cubit oregano

Untuk Salutan:

1. Telur
2. Remah roti/Breadcrumb

Cara-caranya:

1. Campurkan daging cincang, tepung gandum, garam, lada sulah dan oregano dalam mangkuk.
2. Gaul sebati.
3. Perapkan semalaman dalam peti sejuk untuk mendapatkan rasa yang enak dan sebati.
4. Dengan menggunakan measuring spoon bersaiz 7.5ml, adunan disudu dan kemudian dibentukkan bulat/segiempat dan dileperkan (hasilnya seperti dalam gambar pertama dan kedua).
5. Pukul telur dan celupkan nuget ke dalam telur dan seterusnya salutkan dengan breadcrumb. Ulang proses ini 2 kali untuk mendapatkan kulit yang lebih tebal dan rangup.
6. Goreng sehingga kekuningan (seperti dalam gambar ketiga).
7. Boleh dimakan panas-panas.
8. Atau jika ingin disimpan lebih lama, boleh bungkus di dalam plastik yang sesuai (seperti ziplock plastic bag) dan disejukbekukan dalam peti sejuk semalaman (seperti dalam gambar keempat dan kelima).



Setelah adunan disudu menggunakan measuring spoon 7.5ml, ia dileperkan menjadi bentuk segiempat


Close-up skit...heheh


Setelah dibentukkan, nuget disalut dengan telur dan remah roti/breadcrumb sebanyak 2 kali, dan kemudian digoreng. Hasilnya adalah seperti dalam gambar di atas.

Cakkk!!! :D
Inilah rupa nuget ayam yang telah siap digoreng, disejuk dan dibungkuskan dalam plastik yang sesuai. 


Taraaaa..telah siap sedia untuk disejukbekukan semalaman. InshaAllah boleh tahan 1 bulan;)

 B) Nuget Ayam Tauhu
1. 350gm daging cincang
2. 1/2 cawan remah roti/breadcrumb
3. 1/2 biji telur
4. 50 gm tauhu
5. 1/4 sudu teh garam
6. 1/4 sudu teh lada sulah/koshou
7. 1/4 sudu teh serbuk penaik/baking powder

Untuk Salutan:

1. Telur
2. Remah roti/Breadcrumb

Cara-caranya:

1. Campurkan daging cincang, tauhu, garam, lada sulah dan serbuk penaik dalam mangkuk.
2. Gaul sebati.
3. Kemudian masukkan telur dan remah roti dan gaul lagi.
4. Perapkan semalaman dalam peti sejuk untuk mendapatkan rasa yang enak dan sebati.
4. Dengan menggunakan measuring spoon bersaiz 7.5ml, adunan disudu dan kemudian dibentukkan bulat/segiempat dan dileperkan.
5. Pukul telur dan celupkan nuget ke dalam telur dan seterusnya salutkan dengan breadcrumb. Ulang proses ini 2 kali untuk mendapatkan kulit yang lebih tebal dan rangup.
6. Goreng sehingga kekuningan.
7. Boleh dimakan panas-panas.
8. Atau jika ingin disimpan lebih lama, boleh bungkus di dalam plastik yang sesuai (seperti ziplock plastic bag) dan disejukbekukan dalam peti sejuk semalaman (seperti dalam gambar keempat dan kelima).

Agak-agaknya, bila balik Malaysia nanti, saya akan buat nuget ayam sendiri atau beli nuget ayam Ayamas atau Ramly??? hehehe..(soalan cepu emas untuk diri sendiri..)


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"

Pasar Lambak@Flea Market

Sabtu minggu ke-4 setiap bulan kebiasaannya terdapat jualan pasar lambak atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggeris, Flea Market di bandar Okayama ini. Ia diadakan di sebuah tempat yang dikenali sebagai Okayama Dome, yang mana pada hari-hari biasa ia merupakan pusat sukan dan rekreasi.

[I] Fuku Bukuro dan Flea Market

Pada bulan ini (Januari), kami sangat bertuah kerana ia jatuh pada 28 Januari yang bersamaan dengan hari cuti kelas Bahasa Jepun di Kyoyama Kaominkan (bersempena ESD Festival). Kenapa saya katakan kami bertuah? Kerana setiap Sabtu kami mengikuti kelas Bahasa Jepun dari pukul 10 pagi hingga 11:30 pagi. Dan jika kami ingin pergi setelah selesai kelas tersebut, pilihan barang-barang yang ada sudah berkurangan memandangkan flea market adalah sehingga lebih kurang 2 petang sahaja. Lagi pula, kami memang perlu ke situ kerana masih belum mencapai sasaran untuk jumlah cenderahati yang akan dibawa pulang  (chewaaaahh..macam banyak pulak bunyinye..). Sasaran kami kali ini adalah 10 barangan yang harganya berpatutan...(boleh tahan jugak banyaknye tuh..huhuhuh). Kali akhir kami ke sini adalah 3 bulan yang lalu semasa menemani Sister Aminah yang ingin pulang ke Nigeria, kalau tak silap)...

Memandangkan tahun baru (1 Januari) baru sahaja berlalu, kami mengharapkan ada banyak barang yang dijual kerana kebiasaannya pada tahun baru, ramai orang Jepun yang membeli-belah kerana tawaran harga murah serta fuku bukuro/lucky bag/beg bertuah yang ditawarkan di kebanyakan pasaraya dan department store. Oleh itu, jika mereka sudah beli barang-barang baru, pasti ada barang-barang terpakai yang masih baru yang tidak mahu digunakan lagi atau barang-barang baru mereka yang masih belum sempat dipakai atau barang-barang murah yang dapat mereka beli ketika tahun baru ingin dijual semula bagi mendapatkan sedikit keuntungan (antara sebab-sebab yang saya terfikirla..hehehe) dan sebab-sebab lain mereka yang tersendiri (yang saya tak tahu)...hihih..

Oh ye, bercakap tentang fuku bukoro, nak tengok contohnya?


Alhamdulillah..dapat 1 tin/tong bertuah yang memang telah kami risik terlebih dahulu isi kandungannya sehari sebelum tahun baru;)

Nak tahu isi dalam dia???




Ada 2 set tracksuit dan sweater, 2 helai jersey, 1 helai seluar pendek dan 1 buah beg kasut:D


Hehehe..mengimbas kenangan tahun baru la plak...Tapi memang sangat berbaloilah tin bertuah tu...Dengan harga Y10,000, kami dapat barangan yang jumlah keseluruhannya Y30,000..berbaloi tak???

Berbalik pada kisah di flea market, jom lihat pemandangan di dalam Dome...


Perkhidmatan mengurut oleh Chiropractic pun ada...hanya serendah Y500/RM20 per sesi



Kelihatan teman Egypt bersama anaknya sedang memilih barangan



Pelbagai barangan dijual daripada barangan kering seperti pakaian, beg, kasut, tali pinggang, pinggan mangkuk, pisau, periuk, mainan kanak-kanak dan banyak lagi serta barangan basah seperti buah, sayur dan sebagainya.


Pemandangan keseluruhan ruang dalam Dome


2 orang adik-beradik ini saling berbual sementara ditinggalkan oleh ibubapa mereka yang sedang asyik membeli-belah..kawai je rase...tapi, tak bahaya ke??? di Jepun, InshaAllah tidak...


Nak lihat hasil kesabaran dan kemahiran tawar-menawar saya? hehehe..




Alhamdulillah..dapat 6 set barangan yang masih baru..dengan harga keseluruhan Y2000:)


 [II] Jumpa Kawan

Di samping dapat membeli-belah, saya juga berkesempatan berjumpa kawan-kawan yang begitu saya senangi seperti Sister Sarah, Sister Nuha, Maiko san dan Basha. Saya dan suami juga sangat bersyukur kerana dapat memanfaatkan MPV 8-seater kami dengan menemani Sister Nuha sekeluarga pulang ke rumah di samping dapat berbual-bual dan bermain dengan Yunus kun. Semoga saya dikurniakan anak-anak yang sihat, pintar dan ceria seperti anak-anak Sister Nuha; Yumna, Yaseer dan Yunus, Aminnn.


[III]  Oh Tayar

Setelah pulang dari Dome, kami ke rumah seorang teman Malaysia yang telah membantu membelikan tayar MPV kami. Beliau telah berada di Jepun lebih kurang 6-7 tahun. Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan dan kepandaian beliau dalam jualan lelong secara dalam talian, beliau telah berjaya membelikan 4 biji tayar dengan harga Y30,000+++...yang mana menurut suami, murah berbanding beli di kedai. Teman ini juga telah membantu membelikan MPV kami dengan harga yang murah, yang kami mampu. Kami sangat berbesar hati dengan kebaikan serta jasabaik beliau yang telah banyak membantu kami khususnya dalam hal-hal berkaitan kereta dan urusan-urusan yang berkait dengannya. Semoga Allah membalas segala jasabaik beliau dengan kebaikan yang banyak dan mengurniakannya seorang isteri yang solehah, Amin;)

Besar dan berat...huhuhuh

"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"



Keropok Lekor

Bismillahirrahmanirrahim...


Baru selesai direbus...panassss...hehehe

Mesti semua orang Malaysia mengenali makanan di dalam gambar di atas kan?;) Yeee...itulah keropok lekor :D Sebenarnya saya dah buat keropok lekor tu sejak 2 minggu yang lalu. Alhamdulillah, dapat rezeki ikan murah...hehehe..Berikut  resepinya:

Bahan-bahan:

1. 25 ekor ikan kembung kecil
2. 100 gm tepung warabi mochi/tepung sagu
3. 30 gm tepung katakuri ko/tepung jagung
4. 1 1/2 sudu kecil garam
5. sedikit ajinomoto

Sos:

1. 4 sudu besar cili kisar
2. sedikit gula melaka
3. 1 sudu kecil asam jawa (campur dengan air)
4. 2 sudu besar gula
5. 1/2 sudu kecil garam
6. 2 sudu kecil cuka (kalau takde boleh ganti lemon)
7. 1 sudu besar tepung jagung (untuk pekatkan kuah)
8. 2/3 cawan air

Cara-cara:

1. Bersihkan ikan.
2. Buang kulit ikan dengan mengoyakkan kulit dari kepala hingga ekor. Ambil isinya sahaja.
3. Potong isi ikan-ikan kecil supaya mudah dikisar. Kisar sehingga ikan hancur.
4. Selepas kisar, masukkan ke dalam mangkuk. Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul sehingga tepung habis.
5. Masukkan garam dan ajinomoto.
6. Taburkan sedikit tepung di atas papan pelandas. Ambil sedikit adunan keropok dan gentel di atas papan. Ulang sampai habis.
7. Panaskan air dalam periuk sehingga mendidih. Kemudian masukkan keropok tadi.
8. Apabila keropok timbul di atas air, itu menunjukkan ia telah masak dan bolehlah diangkat. Seterusnya, keropok boleh dipotong kecil untuk digoreng. Jika tidak mahu makan terus, boleh juga disimpan di dalam peti ais (InshaAllah tahan lama;) )
9. Keropok yang belum direbus tadi boleh juga digoreng terus dan dihidang panas.

Untuk sos:

1. Masukkan air ke dalam periuk dengan api perlahan.
2. Masukkan cili kisar, gula melaka dan air asam jawa.
3. Apabila sudah mendidih, masukkan garam, gula dan ajinomoto.
4. Kemudian masukkan cuka.
5. Akhir sekali, masukkan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air.

Hasil setelah digoreng...taraaaa...



Dapat juga merasa keropok lekor walau di perantauan..hukhukhuk..


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah!"

Penghulu Segala Hari

Alhamdulillah, walau sudah terlewat 2 hari mengemaskini JK ini, saya tetap ingin berkongsi kisah-kisah kehidupan yang saya lalui di sepanjang penghulu segala hari...penuh dengan ketenangan, namun terselit keterujaan:) Apa yang mengujakan sangat ye? hihihi..

[I] Penghulu Segala Hari


Menurut pandangan Islam, Jumaat merupakan penghulu segala hari, atau dalam bahasa Arab disebut “Saiyidul Aiyam: سيد الأيام ". Saya hanya berkesempatan membaca beberapa ayat daripada Surah Al-Kahfi yang amat digalakkan untuk dibaca pada hari Jumaat. Antara kelebihan membaca surah tersebut pada hari Jumaat adalah bagi mengelakkan fitnah dajjal. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya yang bermaksud:

"Sesiapa yang hafal sepuluh ayat daripada ayat awal surah Al-Kahfi, ia akan terpelihara dari godaan Dajjal dan dalam riwayat yang lain, siapa yang hafal sepuluh ayat yang terakhir daripadanya..."

(Hadis Sahih Muslim)

Namun, seluruh isi kandungan  Al-Quran itu adalah sangat baik untuk dibaca, difahami, dihayati dan dipraktikkan setiap hari:). Terdapat beberapa hadis yang menekankan keutamaan membaca Al-Quran, antaranya:

Dari Abu Umamah Al Bahili r.a., katanya dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
"Bacalah Al- Quran, kerana dia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, yakni surat Al Baqarah dan Ali 'Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tumpuk awan menaungi pembacanya, atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah Al-Baqarah, kerana dengan membacanya beroleh berkat, dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan) oleh tukang-tukang sihir."

(Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0771)
Dan

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda: 
"Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)   


Alhamdulillah, saya turut berkesempatan membaca ayat-ayat daripada Surah Al-A'raaf (Tembok yang Tinggi), yang mana antara intisarinya berkisar tentang tujuan Al-Quran diturunkan dan kewajipan Rasulullah S.A.W menyiarkan ajarannya serta memberi semangat kepada Baginda supaya janganlah ia merasa bimbang atau berdukacita terhadap kaum kafir yang menolak dan mengingkarinya.


Surah Al-A'raaf, juz ke-9

Dan suka untuk saya berkongsi terjemahan ayat 172, surah Al-A'raaf ini yang bermaksud:


Adakah kita semua masih ingat yang di suatu masa dahulu kita pernah berjanji pada Allah bahawa hanya Allah S.W.T, satu-satunya Tuhan yang layak disembah???



[II] Slot Usrati, IKIMfm

IKIMfm merupakan saluran radio Malaysia yang menjadi pilihan utama kami (macam sedang mempromo moto radio ni plak..hihih). Hampir setiap hari kami mendengarkannya dalam talian di www.ikimfm.my/ikimfm. Alhamdulillah, sejak dari tahuan pertama pelancarannya, kami meletakkannya sebagai pilihan no 1 berbanding saluran-saluran radio yang lain kerana ia sentiasa mengingatkan kami kepada Allah dan pesuruhNya, Rasulullah S.AW. Syabas pada seluruh warga kerja IKIMfm;)

Apa yang saya nak kongsikan hari ini adalah sebahagian ilmu yang saya perolehi daripada slot Usrati: "Keindahan Sabar dalam Rumahtangga" yang diterajui oleh pengacaranya, dj Fairuz bersama penceramah jemputan, Ustazah Hafizah dari pukul 11:15 paga - 12tengahari waktu Jepun. Berikut saya kongsikan sedikit isi penting yang dapat saya catit:


1. Beri hak-hak solat, jangan fikir nak cepat siap solat atau bersolat dalam keadaan tergesa-gesa. Selalu nak cepat sebab fikir kerja banyak, itu semua merupakan godaan syaitan. Semasa dalam ibadah solat, kita dapat melatih hawa nafsu. Rasulullan S.A.W semasa solat, selalu baca surah yang panjang-panjang, kemudian berdoa.

2. Pakaian sememangnya ada memberi kesan pada pemakainya. Sekiranya seseorang wanita ingin mengubah pakaiannya kepada yang lebih baik, contohnya berjubah dan bertudung labuh, namun tidak mendapat galakan suami:

i) lakukan perubahan secara beransur-ansur
ii) ambilkira pandangan suami
iii) sekiranya wanita itu tetap mahu memakai pakaian yang sempurna, dia perlu ambil hati semua orang termasuklah suaminya.
iv) tunjukkan juga bahawa jiwa, akhlak dan pemikiran turut berubah ke arah lebih baik supaya
suami juga akan nampak kesan memakai pakaian yg baik itu turut merubah dalaman isteri, akhlak dan sebagainya.(Berubah dalam pakej)

 3. Langkah-langkah untuk membuang sifat 
panas baran:

i) Ambil buku nota kecil dan tandakan berapa kali anda marah  dalam 1 hari
ii) Beritahu isteri/anak yang anda mahu berubah, jadi, minta tolong mereka bantu dengan cara, bila anda nak marah, minta anak/isteri tegur terus. Nabi kata, “jgn marah, jgn marah, jgn marah”. Maksudnya, bila anda marah, minta anak/isteri tegur, "Jangan marah", sebanya 3 kali.
iii) Bila anda dah catat dan tahu berapa kali anda marah dalam1 hari, anda cuba kurangkan di hari-hari yang seterusnya.
iv) InshaAllah jika anda usaha bersungguh-sungguh, Allah akan bantu, beri taufiq dan hidayah.

4. Isteri sememangnya memainkan peranan penting dalam mempengaruhi atau memujuk suami untuk berubah kepada yang lebih baik. Jika disingkap kisah Firaun, kita semua tahu bahawa Firaun tidak mahu anak lelaki dan mengarahkan tentera-tenteranya supaya mencari anak lelaki untuk dibunuh. Namun begitu, di rumahnya, dengan kekuatan isterinya Asiah yang telah memujuk suaminya dengan mengatakan bahawa anak boleh menjadi penyejuk hati, akhirnya Firaun ikut dan Nabi Musa telah dibesarkan di rumah Firaun tanpa disedarinya. Ramai isteri boleh membentuk atau menukar karakter suami ke arah yang lebih baik dan yakinlah dengan pertolongan Allah. Tapi tak boleh terburu-buru, ia memerlukan masa yang sesuai.

5. Rasulullah S.A.W penuh dengan doa-doa dalam perjalanan ingin bersolat di masjid, yang mana doa  itu berbunyi: 
 "Ya Allah jadikanlah dalam hatiku cahaya dan lidahku cahaya dan jadikanlah pada pendengaranku cahaya dan penglihatanku cahaya dan jadikanlah di belakangku cahaya dan di hadapanku cahaya dan di bawahku cahaya, Ya Allah berikanlah kepadaku cahaya"
Bagaimana pula dengan persediaan kita mengadap Allah? Adab-adab bertemu Allah dalam solat???


6. Apabila seseorang itu ingin bersabar, lagi banyak gangguan atau dugaannya. Menurut pandangan Yahya bin Muaz, dalam pemerhatiannya, apabila kita ingin menjadi seorang yang lebih baik, kita perlu melalui 4 latihan:


i)   Kurangkan kenyang
 
ii) 
Kurangkan tidur (banyak hidupkan malam)
 
iii) 
Kurangkan bercakap, kecuali yg bermanfaat
 
iv)
Sabar terhadap karenah orang lain

Allah nak tengok sama ada kita tahan lasak atau tak. Kkita perlu masuk dalam zon latihan itu. Dalam sabar ada:
1) kekuatan utk melakukan, contoh: buat solat sunat
    dan2) kekuatan utk menahan


Kerana itu, ada peribadi yang kita jumpa rajin sedekah di waktu pagi, tapi di waktu petang, membazir. Ada org bagus, banyak mengaji, tapi tiada kekuatan untuk menahan marah. Ada juga yang banyak solat sunat, tapi banyak tengok perkara-perkara haram. Jadi, harus koreksi, adakah kita kuat lakukan sesuatu, tapi gagal tahan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik.

7.  Rumusan:
Masalah yang ada dalam masa lapang.
Kadang-kadang bila rasa tak dapat baiki diri, 1 sebab utama adalah kita ada banyak masa lapang. Orang yang menyibukkan dirinya dengan dakwah, dengan kerja yang bermanfaat, mereka boleh menahan diri. Orang yang asyik bosan, mereka menjadi lubuk. Ada nikmat yang orang selalu salah guna iaitu masa sihat dan masa lapang. Hati kita ini menjadi rebutan. Jika nak jadi sabar, hati kena bersih. Jika kita tak sibukkan diri dengan kebenaran, nanti kita akan sibuk dengan kebathilan. Kalau kita hargai masa, nyawa dan kehidupan, letakkan aktiviti dalam kerangka yang diredhai Allah, inshaAllah perjalanan kita menuju Allah akan menjadi lebih mudah.

8. Ada 4 golongan yang tak akan rugi; orang beriman, yang beriman soleh, yg berpesan-pesan pada kebenaran dan yang berpesan-pesan pada kesabaran. Adakah kita sedang tambah iman dengan ilmu? Kalau tak keluar dari 4 ini, inshaAllah kita akan lebih diberkati dan diberi keampunan oleh Allah...

IKIMfm dalam talian, sudah 10 tahun usianya:)

[III] Sayangi Bumi Kita

Hari Jumaat minggu ke-4 merupakan hari pembuangan bahan-bahan kitar semula seperti minyak, bateri, termometer dan botol kaca di kawasan saya. Waktu pembuangannya adalah sekitar 7 pagi - 8:30 pagi, kerana sekitar 8: 30++, ada pihak yang bertanggungjawab akan mengutip semua bahan-bahan buangan tersebut. Maka, dalam keadaan suhu 0 darjah Celcius dan kurang (sejuk betul rasenye..huhuh), kami telah menuju ke tempat pembuangan yang telah ditetapkan. Nak tengok suasana tempat tuh? Tengok bawah..


Sekitar pukul 7:10 pagi, kami berjalan kaki dalam 2-3 min untuk sampai ke tempat pembuangan



Inilah tempat pembuangan yang dimaksudkan



Sedang mengasingkan bateri dan botol kaca


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah!"

Thursday 26 January 2012

Nasi Ayam Melaka (Malacca Chicken Rice)






   بسم الله الرحمن الرحيم



Dari segi rasa, InshaAllah passed, tapi dari segi rupa..khasnya nasi.., failed, tak ikut spesifikasi huhuh..(sebab tidak digulikan)..

Pasti ramai yang biasa makan nasi ayam, kan? Tapi nasi ayam versi yang mana ye?

Saya amat menggemari Nasi Ayam Melaka atau yang mirip-mirip rasa dengan nasi ayam jenis ini adalah Nasi Ayam Hainan. Kalau di Melaka, saya sering makan di Melaka Sentral khususnya bila ke rumah kaklong di Ayer Keroh apabila menaiki bas ekspres. Mesti akan singgah kedai nasi ayam kat situ dulu sebelum ke rumah kakak..tapi citer lama dahla..tahun 2004 gitu..tak taula kedai nasi ayam tu ada lagi ke tak..hehehe...

Kalau Nasi Ayam Hainan tu, saya biasa makan di...apa  pulak nama tempat tu ek..lupa plak..tapi area bandarlah..memang popular nasi ayam dan mee kari dia;)

Alhamdulillah, saya telah  berkesempatan menyediakan Nasi Ayam Melaka untuk santapan makan tengahari dan makan malam kami. Resepinya saya perolehi daripada buku bertajuk "Malaysian Delicacies, Citarasa Istimewa Malaysia" karangan Chef Patsie Cheong. Ia merupakan koleksi resepi terpilih Patsie Cheong. Dan yang lebih membuatkan buku ini bermakna adalah ia merupakan hadiah harijadi rakan-rakan Lab Robot, FKE, UTM Skudai pada tahun 2003. Walaupun telah lama buku ini dalam simpanan, saya tetap membawanya ke mana sahaja. Sebagai bukti, ia ada dekat dengan saya walaupun saya kini berada di perantauan;) Jom tengok resepi...

Bahan-bahan:
(A)
1. 1 ekor ayam
2. 2 sudu kecil garam
3. 1 sudu kecil minyak bijan
(B)
1. 2 sudu besar margerin
2. 1 ulas bawang putih
3. 3 pot beras
4. 1 sudu besar serbuk ayam
5. 41/2 pot air (saya guna air rebusan ayam)

Sos kicap (campur semua)
1. 3 sudu besar sos soya (saya guna kicap Perdana)
2. 1 sudu kecil minyak bijan
3. 1 sudu kecil kicap pekat (saya guna kicap manis cap Jalen)
4. Pati ayam (saya letak 2 sudu besar air rebusan ayam)  
Sos cili (dikisar)
1. 150gm cili merah (saya tak letak sebab tiada, saya tambah sos cili Thai)
2. 10 ulas cili padi (saya kurangkan kepada 7 ulas sahaja)
3. 50gm halia muda
4. 50 gm bawang putih
5. Jus 10 biji limau (saya letak sedikit jus lemon)
6. Kulit 2 biji limau (saya letak sedikit kulit lemon)
7. Garam secukup rasa
8. Pati ayam secukup rasa (saya guna air rebusan ayam)

Cara-cara:

1. Didihkan bahan-bahan (A) hingga masak, keluarkan ayam dan sapukan ayam dengan minyak bijan.
2. Tumiskan bawang putih dan beras dengan margerin. Kemudian masukkan serbuk pati ayam dan goreng hingga rata. Tuangkan air dan masak hingga mendidih. (Boleh juga masukkan ke dalam periuk nasi)
3. Kecilkan api apabila buih tebal kelihatan dan masakkan selama 10 minit.
4. Untuk sos kicap, campurkan semua bahan ke dalam mangkuk dan kacau sehingga sebati. Bagi sos cili pula, kisarkan semua bahan dalam pengisar hingga sebati.
5. Setelah nasi masak, keluarkan dan gulikan menjadi bebola. Potong ayam menjadi kepingan kecil dan tuangkan sos ke atasnya. Hidangkan dengan sos cili.

Senang je kan? InshaAllah dalam masa 1 jam boleh siap semua sekali dan dinikmati bersama keluarga tersayang:)

"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu ya Allah!"

Hari Menuntut Ilmu

Hari Khamis pada saya begitu sinonim dengan menuntut ilmu. Kenapa?? Sebab ada 2 bentuk pengajian yang perlu saya hadiri; 1 secara maya manakala 1 lagi secara fizikal. Untuk hari ini, saya ingin kongsi tentang pengajian secara fizikal sahaja serta aktiviti yang terkait dengannya..;)


[I] Kelas Bahasa Jepun Percuma dan Sukarela

Pengajian fizikal saya bermula pada pukul 3:30 ptg. Tapi saya lewat menghadirinya (sehingga setengah jam..tapi telah saya sms sensei (guru) memberitahu kelewatan ini) kerana solat Asar dahulu (waktu Asar bermula pukul 3:07ptg). Suami yang pulang pukul 2:45 ptg untuk makan tengahari seterusnya menjadi imam solat Asar saya. Mengayuh pada kadar biasa-biasa membawa saya ke kelas, iaitu di bangunan Ai Plaza (ada perpustakaan di dalamnya) pada pukul 4:00 ptg. Setibanya di sana, sensei dengan ditemani oleh rakan sekelas saya (orang Malaysia juga) sedang rancak mencurahkan ilmunya terkait tajuk "Adjective/Keiyoushi". Secara asasnya, adjective dalam Bahasa Jepun/Nihongo terbahagi kepada 2 kategori iaitu;

1) i-keiyoushi (i-adjective), contoh; oishii, atarashii, samui, takai (di hujung perkataan = huruf "i") dan 
2) na-keiyoushi (na-adjective), contoh; kirei, genki, shinsetsu, shizuka, nigiyaka, benri

Walaupun saya dah belajar tajuk ini di kelas-kelas Bahasa Jepun yang lain, namun pengulangannya dengan sensei yang lain turut memberi ilmu baru kepada saya di samping memberi peluang kepada saya untuk mengingat kembali pelajaran yang diperolehi sekitar 2 tahun yang lalu..Alhamdulillah:) Dan sensei yang baik ini (shinsetsu na sensei) mengajar saya dan rakan saya tanpa sebarang bayaran mahupun arahan daripada sesiapa pun melainkan dengan sukarela serta penuh keikhlasan. Itulah Nob*e Kashi**gi Sensei. Beliau turut menawarkan pelbagai bentuk pertolongan pada kami (orang asing di negara kelahiran beliau) dan salah satunya yang buat saya terharu dan bersyukur adalah beliau sudi mengalihbahasa dokumen klinik (ditulis 90% dalam tulisan Jepun kategori kanji) saya lebih kurang 10 ms...AllahuAkbar..pertolongan Allah tiba pada masa yang sesuai..


Buku Minna no Nihongo yang banyak digunakan di kelas-kelas Bahasa Jepun yang ditawarkan secara sukarela
 

[II] Pucuk Dicita Ulam Mendatang  

Pulang dari kelas Nihongo, saya singgah ke farmasi/drug store bernama Daikokudoraggu. Hajat di hati ingin mencari minyak rambut yang sesuai. Alhamdulillah, pusing punya pusing..setengah jam jugalah..saya bukan sahaja jumpa minyak malah masker rambut juga..hehehe.. Kebetulan ada trial pack yang dijual dengan harga Jualan Murah/Sale serta kuantiti percubaan yang bertepatan dengan keinginan saya untuk try and error dahulu. Saya lihat, jika beli minyak sahaja, harganya sama dengan trial pack yang mengandungi minyak, shampoo dan conditioner. Begitu juga masker, turut disertakan set shampoo dan conditioner. Disebabkan itu, saya beli kedua-dua trial pack kerana ternyata ianya lebih berbaloi. Bukan itu sahaja, haruman produk ini yang segar dan wangi benar-benar memikat hati saya untuk memiliknya;) Semoga produk ini bersesuaian dengan rambut saya yang sudah lama tidak dibelai dan dirawat ini, Aminnnnn..


Produk baru Pantene

[III] Teman Setia Musim Fuyu/Sejuk

Sejak dari semalam (hari turunnya salji), suhu rendah yang mencucuk sendi dan tulang temulang sungguh terasa dan instinct saya mengatakan yang ianya berterusan hingga ke hari ini. Bermula dengan suhu -4 pada awal pagi, saya memulakan hari dengan solat Subuh (masuk waktu Subuh pukul 5:39 pg) dan kemudiannya tidur kembali kerana masih tidak sanggup melakukan rutin harian dalam keadaan suhu yang begitu rendah..huhuhu..Musim sejuk begini, paling awal saya dan suami memulakan rutin di waktu pagi (sarapan, mandi dll) sekitar 9++pg..hehehe..Walaupun matahari sudah tinggi dan menebarkan cahaya dan kehangatannya, namun kesejukan tetap dirasai. Alhamdulillah, dengan ilham yang Allah beri pada pereka pemanas/heater/dambo, ia dapat membantu saya melakukan pelbagai aktiviti di rumah dengan girangnya...terima kasih teman setiaku...thihihih



Inilah dambo kesayangan yang telah berjasa masuk tahun ke3


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu ya Allah!"

Wednesday 25 January 2012

Di Luar Jangkaan


Jam menunjukkan pukul 11:40 malam. Saya berusaha untuk memikirkan apakah nikmat-nikmat kurniaanNya yang saya rasai hari ini. Tanpa perlu mengambil masa yang lama, begitu banyak yang dapat saya hitung dan senaraikan..Alhamdulillah.., namun saya begitu teruja untuk berkongsi 3 perkara ini;

[1] Turunnya Yuki/Salji

Kehadiran salji/yuki yang permulaannya hanya seperti rintik-rintik hujan, bertukar menjadi hujan lebat. Sememangnya di tempat saya ni sangat jarang turun salji selebat itu, namun, siapakah yang boleh menghalang sesuatu itu berlaku setelah Allah katakan "Kun Faaya Kun". Tiada kata yang mampu saya lafazkan melainkan..Subhanallah..Maha Suci Allah..


Ketika salji turun seperti hujan rintik-rintik, sekitar pukul 1:20 ptg

Salji sudah menyerupai hujan lebat..sekitar pukul 1:40 ptg
 

Salji berkumpul di bidai rumah kami yang runtuh akibat angin kencang beberapa hari yang lalu:D

Pemandangan di hadapan rumah kami...

Nampakkan perbezaan gambar pertama dengan kedua, ketiga dan seterusnya?


[II] Pemberian Yang Tidak Disangka-sangka

Ketika salji turun dengan lebatnya (tanpa saya sedari), pintu rumah saya seperti diketuk oleh seseorang. Tetapi ketukan itu agak perlahan, namun kerap. Saya bergegas menyarung tudung dan membuka pintu. Kelihatan susuk tubuh yang sedikit bongkok sedang mahu menuruni tangga..(rumah saya di tingkat 2). Segera saya menyapa beliau, "Konnichiwa"...Saya begitu mengenali susuk tua itu kerana sejak dari minggu pertama saya mendiami rumah (apato) ini, beliau sudah datang bertamu memperkenalkan dirinya..katanya "Oyaasan"..tapi kerana saya masih menunjukkan riak wajah tidak faham, disebutnya pula "Obaachan..". Namun kedua-duanya tidak saya fahami..hihihi..(masa tu masih belum mengikuti sebarang kelas bahasa Jepun).

Sejak daripada kehadiran pertama beliau, setiap bulan pasti  ada 1 kali beliau akan datang bertandang ke rumah...untuk apa ye? Hehehe..pasti ada yang tertanya-tanya..hehehe..Obachaan (nenek) itu merupakan tuan rumah (Oyaasan) kami. Beliau tinggal dengan anak-anaknya dan di kawasan rumah kami itu, ada 2 bangunan apartment (apato) mereka. Malah mereka juga mempunyai tanah kosong tempat bercucuk tanam. Di situlah nenek ini menanam sayur-sayurannya mengikut musim-musim di Jepun ni. Memandangkan sekarang ini (bulan Dis - Feb) merupakan musim sejuk/fuyu, beliau memang gemar memberi kami sayuran di bawah ini dan tidak ketinggalan, telur ayam :)



Itulah sayur yang saya maksudkan, Daikon/Lobak putih;)
  Dan sempat juga saya rakamkan susuk tubuh yang bongkok itu menuruni jalan berbukit dari apato saya menuju ke rumah beliau. Sungguh, saya tidak merasa sunyi dengan kehadiran beliau yang baik hati ini hampir setiap bulan ke rumah saya. "Obaaaaaachan..arigatou ne;)"


Nenek tua ini meredah salji yang lebat semata-mata ingin menghantar daikon dan telur..

[III] Membeli Buah dan Sayur di Kedai Harga Patut

Sekitar jam 11:00 pagi, saya berkesempatan ke kedai di Fakulti Pertanian, Universiti Okayama yang menjual aneka sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan dan pokok-pokok(an??) hehehe...Kedai ini dibuka dari jam 10:40 - 11:40 pagi sahaja, setiap hari bekerja. Dan selalunya, sebelum kedai dibuka lagi para pelanggannya (selalunya terdiri daripada nenek-nenek dan atuk-atuk..hehehee) akan beratur di luar kedai. Mungkin mereka mempercayai hasil tanaman dan kajian para pendidik dan penuntut di fakulti tersebut yang pastinya sentiasa memastikan kualiti hasil tanaman mereka. Kalau nak ikutkan harganya, bolehlah..ikut item..ada yang murah, ada yang biasa-biasa saja.., tetapi kesegarannya, InshaAllah terjamin..segar dari ladang gitu..hikhikhik..Apa yang saya beli kat kedai tu ek? hihihi..

Strawberry/Ichigo dan Lemon/Remon
Close-up dekat lagiii...


Sungguh menggoda..Oishikatta!!

Sengaja ambil gambar dekat supaya keharuman dan keenakannya akan jelas terbayang selagi hayat dikandung badan:)


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu ya Allah!"