[I] Pengajian Di Skype
Hari ini hari Selasa, bersamaan dengan 31 Disember 2012, 7 Rabi'ul Awal 1433H. Kenapa saya menekankan pada "hari Selasa" itu??? Kerana hari Selasa merupakan hari yang saya dan kawan-kawan muslimah yang berada di Jepun dan Malaysia pilih untuk diadakan pengajian dalam talian atau pengajian online.
Apa yang kami lakukan sepanjang pengajian online?
Sejak dari awal penganjurannya, ia dikemudi oleh seorang teman Indonesia, yang dikenali dengan panggilan Mba Ike. Beliau yang merupakan seorang yang arif dan alim dalam ilmu agama, ditambah dengan sifat lemah lembut serta keibuannya, sungguh mudah didekati. (Semoga Allah merahmati kehidupan beliau sekeluarga). Namun setelah Mba Ike pulang ke Indonesia (suami beliau berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD, Alhamdulillah...) seterusnya pengemudinya diganti dengan seorang adik Malaysia, CT (masih muda, namun tinggi ilmu agamanya), juga telah kembali ke tanahair pada Oktober tahun 2010, setelah suami beliau juga berjaya memperolehi PhD, Alhamdulillah..(Semoga Allah merahmati kehidupan beliau sekeluarga).
Semasa penganjurannya oleh Mba Ike, saya hanya berkesempatan mengikuti tadarus Al-Quran dalam talian yang mana setiap yang mengikutinya membaca 1 muka surat sambil Mba Ike menyemak bacaan. Sekiranya ada kesalahan tajwid, akan terus ditegur dan dibetulkan. Selesai membaca Al-Quran, sedikit tazkirah atau tausiyah disampaikan oleh beliau.
Setelah beliau pulang, adik CT meneruskan pengajian online kami setiap hari Khamis, pukul 10 pagi hingga 12 tengahari/waktu solat Zuhur. Pengajian dimulakan dengan tadarus Al-Quran secara bergilir-gilir sebanyak setengah muka surat sambil teman-teman yang lain menyemak bacaan. Seterusnya kami turut diajar ilmu tajwid oleh adik CT dan selepas itu sekiranya ada sesiapa yang ingin berkongsi info, cerita, sirah Nabi atau apa sahaja diberi peluang untuk melakukannya, sehinggalah sekitar masuk waktu solat Zuhur.
Kini, pengajian online ini tiada pengemudinya yang khusus. Seringkali moderatornya berubah-berubah tergantung siapa yang sukarela untuk mengemudikannya. Namun format pengajian masih dikekalkan yang mana ia bermula dengan tadarus Al-Quran secara bergilir-gilir sebanyak setengah muka surat seorang sambil yang lainnya akan menyemak bacaan. Seterusnya salah seorang teman akan berkongsi tafsir ayat-ayat yang telah dibaca dan sedikit perbincangan dilakukan. Selepas itu, diadakan sesi info-sharing atau perkongsian maklumat, cerita dan sebagainya. Kebiasaannya sesi tersebut pasti akan penuh terisi dengan pelbagai perkongsian daripada mereka yang hadir ke ruang maya, Skype;)
Dan untuk minggu ini, kami saling berkongsi kisah tentang seorang rasul mulia, Nabi Muhammad S.A.W sempena bulan kelahiran Baginda pada bulan ini. MashaAllah, semua yang hadir begitu teruja berkongsi maklumat, kisah dan pengalaman mereka berkenaan sambutan Maulidur Rasul mahupun tentang hadis-hadis Baginda yang mulia. Semoga Allah memberkati perhimpunan kami dan menanamkan rasa cinta kami terhadap peribadi mulia, Nabi Muhammad S.A.W, Aminnnn...
teman-teman muslimah solehah, Malaysia dan Indonesia yang hadir ke ruangan Skype, dari Malaysia pun ada, jzkk;) |
[II] Hati Suami Berbunga
Sekitar pukul 2 petang, suami mempunyai mesyuarat mingguan yang wajib dihadiri yang mana ia membincangkan tentang progres penyelidikan setiap penyelidik di bawah seliaan sensei suami. Sejak dari awal pagi lagi suami sudah berkongsi perasaan gundah-gulananya terhadap mesyuarat yang akan dihadiri di sebelah petang. Jadi saya tanya, "Abang dah bersedia ke?". Dan seperti biasa jawapannya "Adalah sikit-sikit...". Emm, saya berpandangan bahawa, sebagai seorang isteri, saya harus cuba menyelami dan turut berkongsi apa jua bentuk emosi suami. Dan kerana itu, setiap yang suami komunikasikan, baik emosi positif mahupun negatif, saya perlu memberi maklumbalas. Dan yang lebih baik adalah yang dapat memberi ketenangan di hati suami. Itu apa yang saya fikirkan, saya tidak pasti bahawa realitinya menjadi atau tidak..hehehe..
Selesai mesyuarat, suami pulang, sekitar jam 5 petang. Kebetulan saya sedang menyiapkan sedikit bungkusan untuk tuan rumah. Setelah selesai dengan tugasan itu, saya hidangkan kek pisang yang masih berbaki sedikit lagi sebagai hidangan minum petang kami hari itu. Tiba-tiba suami bersuara, "Sensei abang suruh mula tulis tesis. Dan kalau boleh, hantar secepat mungkin...". Allahu Akbar!!! Hati saya berbunga riang dengan penyataan suami itu :D
Itu menunjukkan sensei sudah agak berpuashati dengan progres serta hasil penyelidikan suami. Walaupun dulu saya masih ingat, suami sering menceritakan tentang hasil kerjanya yang menjadi bahan kemarahan sensei. Suami pernah beberapa kali dimarahi di hadapan rakan-rakan semakmal dengan nada suara yang tinggi. Dan akhirnya, kesabaran suami mengharungi jerih-perih selama hampir 3 tahun ini tidak sia-sia. Walau mungkin terlalu awal untuk menyatakan bahawa sensei mengiktiraf usaha gigih suami, namun saya percaya Allah membantu hamba-hambaNya bersungguh-sungguh berusaha. Semoga Allah permudahkan segala urusan suami dalam menamatkan pengajian PhDnya, melembutkan hati sensei dan para penilai yang akan membaca serta menyemak naskah penyelidikan suami kelak, Aminnn.
[III] Tonton 30MUD
Sementara menantikan masa mengambil ubat "nasal spray" (pukul 11:30 malam), seperti malam semalam, saya mengikuti rancangan 30 Minit Ustaz Don. Pada episod kali ini, masih mengekalkan tema Cinta Rasul, Ustaz Don berkongsi tentang nasab keturunan Rasulullah S.A.W dan menceritakan kisah-kisah menarik sekitar waktu kelahiran Baginda. Sungguh menarik penyampaian ustaz dan semoga anak-anak muda yang mengikuti rancangan ini akan tertarik dengan mesej yang beliau sampaikan dan sekaligus sedar betapa besarnya jasa Rasululllah S.A.W yang telah mengembangkan dakwah Islam sehingga dapat kita rasakan sehingga ke hari ini...Alhamdulillah...
Keceriaan terpamer di wajah ustaz ketika menceritakan kisah kelahiran Rasulullah S.A.W ..
Ustaz Don yang bijak menzahirkan emosi sesebuah cerita melalui riak wajah beliau:) |
"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"
No comments:
Post a Comment