Sunday, 29 January 2012

Nuget Ayam/Chicken Nugget

Bismillahirrahmanirrahim...

Resepi untuk hari ini memberi banyak kenangan dalam diri saya. Kenapa??? Dengan resepi ini,

1) saya telah berjinak-jinak menjual makanan di perantauan (walaupun mungkin dalam kuantiti yang sedikit..). Dan penjualan tersebut begitu rancak berlaku di sepanjang bulan Ramadhan tahun lepas khususnya di kalangan teman-teman yang hamil dan bujang:)

2) tidak ketinggalan, saya dengan dibantu oleh suami, dengan senang hatinya menyediakannya beberapa kali ketika iftar Ramadhan yang lalu, khususnya pada majlis iftar anjuran OMSA di International hall/Ryugakusei Kaikan. Sangat seronok apabila melihat kanak-kanak begitu teruja ketika menikmatinya dan sering minta lagi (tambah..heheh).

3) saya lihat ia mengubat kerinduan teman-teman Malaysia dan Indonesia yang mungkin menggemari makanan ini. Maklumlah, walaupun nuget ayam ini banyak dijual di pasaraya, namun sembelihan ayamnya yang tidak dilakukan secara Islam menyebabkan ia haram dimakan.  Saya sendiri yang menjumpai resepi ini di Internet, terus mencuba dan suami amat menyukai buat pertama kalinya dan sehingga kini, buat kesekian kalinya. Alhamdulillah, sungguh bermanfaat perkongsian di Internet ni, mudah diakses oleh siapa sahaja yang mahukannya.

Tanpa berlengah lagi, saya kongsikan 2 versi resepi nuget kegemaran kami:

Bahan-bahan (35 biji):

A) Nuget Ayam Biasa
1. 350gm daging cincang
2. 1 sudu besar tepung gandum
3. 1/4 sudu teh garam
4.1/4 sudu teh lada sulah/koshou
5. 2 cubit oregano

Untuk Salutan:

1. Telur
2. Remah roti/Breadcrumb

Cara-caranya:

1. Campurkan daging cincang, tepung gandum, garam, lada sulah dan oregano dalam mangkuk.
2. Gaul sebati.
3. Perapkan semalaman dalam peti sejuk untuk mendapatkan rasa yang enak dan sebati.
4. Dengan menggunakan measuring spoon bersaiz 7.5ml, adunan disudu dan kemudian dibentukkan bulat/segiempat dan dileperkan (hasilnya seperti dalam gambar pertama dan kedua).
5. Pukul telur dan celupkan nuget ke dalam telur dan seterusnya salutkan dengan breadcrumb. Ulang proses ini 2 kali untuk mendapatkan kulit yang lebih tebal dan rangup.
6. Goreng sehingga kekuningan (seperti dalam gambar ketiga).
7. Boleh dimakan panas-panas.
8. Atau jika ingin disimpan lebih lama, boleh bungkus di dalam plastik yang sesuai (seperti ziplock plastic bag) dan disejukbekukan dalam peti sejuk semalaman (seperti dalam gambar keempat dan kelima).



Setelah adunan disudu menggunakan measuring spoon 7.5ml, ia dileperkan menjadi bentuk segiempat


Close-up skit...heheh


Setelah dibentukkan, nuget disalut dengan telur dan remah roti/breadcrumb sebanyak 2 kali, dan kemudian digoreng. Hasilnya adalah seperti dalam gambar di atas.

Cakkk!!! :D
Inilah rupa nuget ayam yang telah siap digoreng, disejuk dan dibungkuskan dalam plastik yang sesuai. 


Taraaaa..telah siap sedia untuk disejukbekukan semalaman. InshaAllah boleh tahan 1 bulan;)

 B) Nuget Ayam Tauhu
1. 350gm daging cincang
2. 1/2 cawan remah roti/breadcrumb
3. 1/2 biji telur
4. 50 gm tauhu
5. 1/4 sudu teh garam
6. 1/4 sudu teh lada sulah/koshou
7. 1/4 sudu teh serbuk penaik/baking powder

Untuk Salutan:

1. Telur
2. Remah roti/Breadcrumb

Cara-caranya:

1. Campurkan daging cincang, tauhu, garam, lada sulah dan serbuk penaik dalam mangkuk.
2. Gaul sebati.
3. Kemudian masukkan telur dan remah roti dan gaul lagi.
4. Perapkan semalaman dalam peti sejuk untuk mendapatkan rasa yang enak dan sebati.
4. Dengan menggunakan measuring spoon bersaiz 7.5ml, adunan disudu dan kemudian dibentukkan bulat/segiempat dan dileperkan.
5. Pukul telur dan celupkan nuget ke dalam telur dan seterusnya salutkan dengan breadcrumb. Ulang proses ini 2 kali untuk mendapatkan kulit yang lebih tebal dan rangup.
6. Goreng sehingga kekuningan.
7. Boleh dimakan panas-panas.
8. Atau jika ingin disimpan lebih lama, boleh bungkus di dalam plastik yang sesuai (seperti ziplock plastic bag) dan disejukbekukan dalam peti sejuk semalaman (seperti dalam gambar keempat dan kelima).

Agak-agaknya, bila balik Malaysia nanti, saya akan buat nuget ayam sendiri atau beli nuget ayam Ayamas atau Ramly??? hehehe..(soalan cepu emas untuk diri sendiri..)


"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"

No comments:

Post a Comment