Tuesday, 24 January 2012
Apa Nikmat yang Dirasai Semalam???
Semalam, 23 Jan 2012, Isnin.
[I] Puasa Sunat Hari Isnin
Alhamdulillah, kami terjaga sekitar jam 5 pagi untuk bersahur, bagi melancarkan perjalanan puasa sunat hari Isnin; bagi suami dan InshaAllah puasa qadha', bagi saya. Semoga Allah terima ibadah kami.
Jika diizinkanNya, kami ingin contohi ibadah suri tauladan kita, Rasulullah S.A.W yang mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis;
Daripada Abi Hurairah r.a., daripada Rasulullah S.A.W sabdanya,
"Diperlihatkan (ke hadrat Allah S.W.T) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa". (Riwayat Al-Tirmizi).
Serta hadis berikut ini dengan maksudnya:
Daripada Aisyah r.a. katanya, "Adalah Rasulullah S.A.W bersungguh-sungguh dalam berpuasa pada hari Isnin dan Khamis".
[II] Mendapat Bantuan
Di sebelah petang, saya ke rumah seorang teman Malaysia di sini untuk memohon bantuan mengalihbahasa daripada Bahasa Jepun ke Bahasa Inggeris/Melayu maklumat yang saya perolehi dari klinik. Alhamdulillah, bantuan yang saya harapkan untuk hari itu ternyata melebihi daripada jangkaan saya. Semoga Allah membalas budi baik Li* dengan kebaikan yang banyak, Amin.
[III] Menonton Program Mengenai Sahabat Nabi S.A.W
Di sebelah malam pula, saya dan suami berpeluang mengikuti satu program di TVAlhijrah mengenai kisah para sahabat Rasulullah S.A.W yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari r.a. Memandangkan kami di Jepun, masa siarannya adalah 11:30-12:00 mlm. Walaupun agak lewat, namun kami ikuti juga program itu memandangkan saya amat meminati cara program itu dikendalikan di mana mereka menjejaki maqam serta tempat-tempat yang pernah menjadi saksi kesetiaan dan kepatuhan mereka kepada Rasulullah S.A.W. Serba sedikit yang ingin saya kongsikan di sini mengenai Abu Ayyub Al-Ansari r.a. adalah seperti berikut:
Di salah sebuah bandar yang terpenting bernama Istanbul; ibu negara ketika Zaman Byzantine, ibu negara Kesultanan Ottoman, penghubung antara Timur dan Barat, terkenal dengan masjid yang ada ciri Ottoman, Masjid Sultan Ahmad di hujung teluk tanduk emas dan Masjid Ayyub Sultan. Di situ jualah terletaknya maqam seorang sahabat Nabi iaitu Abu Ayyub Al-Ansari.
Abu Ayyub Al-Ansari bertanggungjawab dalam pembukaan kota Konstantinopal yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW, yang mana umat Islam menantikan pembukaan kota tersebut selama 8 kurun. Abu Ayyub tahu bahawa Islam akan berkembang dari timur ke barat dan beliau ingin jadi tentera yang terlibat dalam pembinaan kota tersebut.
Abu Ayyub berasal dari Bani Najjar dan mempunyai pertalian saudara dengan Rasulullah dari sebelah ibu. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan pemimpin kaumnya dan prihatin terhadap isu masyarakatnya. Pada tahun 12H, beliau menjadi salah seorang daripada yang berbai'ah dengan Rasulullah, iaitu Bai'ah Al-Aqabah ke-2, seorang daripada 75 orang yang mengadakan perhimpunan, bagi tujuan pembentukan negara Islam.
Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah dari Mekah ke Madinah, setelah berehat di Masjid Quba, Baginda meneruskan perjalanan dan menyerahkan kepada unta Baginda untuk berhenti di mana. Akhirnya unta tersebut berhenti di depan rumah Abu Ayyub Al-Ansari . Ketika itu, Abu Ayyub Al-Ansari dan isteri berlumba-lumba ingin melayan Rasulullah S.A.W dan Baginda menetap di rumah Abu Ayyub Al-Ansari selama 7 bulan.
Abu Ayyub Al-Ansari menyertai semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah S.A.W dan beliau merupakan seorang yang dermawan. Beliau sentiasa menghadirkan diri dan turut terlibat dalam pembukaan Khaibar. Setelah Rasulullah S.A.W wafat, beliau terus berjuang membuka kota sehingga usianya 80 tahun. Beliau gugur syahid di pintu Konstantinopal. Beliau merupakan generasi hebat yang tiada tolok tandingnya. Allah telah pilih beliau untuk mendokong usaha dakwah Rasulullah S.A.W. Wallahu'alam.
"Segala Puji bagi Allah, Aku Mohon KeampunanMu ya Allah!"
Labels:
Kawan Malaysia,
Program TV,
Puasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment