Lobak putih begitu popular di kalangan orang Jepun pada musim sejuk. Pada post sebelum ini, saya ada menceritakan bahawa saya diberi sebatang lobak putih oleh tuan rumah saya yang mana ia merupakan hasil tangan beliau. Katanya, ia enak dibuat salad/sarada.
Sejujurnya, semasa berada di Malaysia, saya tak pernah membeli lobak putih, apatah lagi memasak dan memakannya. Tetapi sejak hampir 3 tahun berada di Jepun, setiap kali musim sejuk, saya mendapat lobak tersebut daripada tuan rumah yang baik hati, yang suka berkongsi hasil kebunnya. Memandangkan tekak orang Melayu seperti saya ini tak boleh lari daripada rasa pedas dan lemak, saya memasak lobak putih tersebut versi masakan Melayu iaitu masak lemak...hehehe..
Masak lemak lobak putih/daikon, salah satu menu untuk buka puasa kami:) |
Resepinya adalah seperti berikut:
Bahan-bahan:
1. 1 batang lobak putih beserta daunnya (saiz kecil)
2. 1/2 biji bawang besar
3. 3 ulas bawang putih
4. 1/4 cawan udang kering
5. 1 sudu besar belacan (dibakar)
6. 5 biji cili padi
7. 1 1/2 cawan air
8. 1 cawan santan
9. 1/2 sudu teh stok ayam
10. garam
11. sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara:
1. Lobak putih dibuang kulitnya, dihiris nipis setebal suku inci dan dibelah 2 menjadi bentuk bulan (separuh bulatan)
2. Kisar atau tumbuk bawang besar, bawang kecil, udang kering, belacan dan cili padi.
3. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumiskan bahan-bahan kisar/tumbuk sehingga wangi.
4. Masukkan air ke dalam periuk dan biarkan mendidih.
5. Kemudian masukkan lobak putih dan kacau.
6. Biarkan ia mendidih dan renihkan ia sekitar 15 minit dengan api yang kecil. Tunggu sehingga lobak putih lembut. (tanda lobak putih lembut ialah warnanya yang putih menjadi lutsinar)
7. Masukkan daun dan renih lagi antara 3 hingga 5 minit.
8. Kemudian masukkan santan dan kacau lagi. Biarkan ia mendidih.
9. Akhir sekali masukkan garam, stok ayam atau sos ikan sebagai perasa. Didihkan lagi sekitar 2 hinnga 3 minit.
10. Siap untuk dihidang dengan nasi panas.
"Segala Puji bagi Allah. Aku Mohon KeampunanMu Ya Allah"
No comments:
Post a Comment